Friday, March 12, 2010

Pelupusan sisa toksik

Dalam usaha mengejar status Negara maju 2005 atau taraf negara perindustrian, pada hari ini kita menyaksikan pertumbuhan industri semakin banyak bak cendawan tumbuh selepas hujan.



Penghasilan sisa industri merupakan kesan sampingan yang tidak dapat dielakkan. Pelupusan sisa ini pula telah menjadi semakin kompleks berikutan jumlah yang besar dan kepelbagaian jenis dan bahayanya kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.


Di negara kita terdapat lebih kurang 5,000 syarikat yang telah dikenal pasti mengeluarkan sisa toksik atau sisa berjadual yang memerlukan rawatan teliti sebelum dilupuskan. Bagi menangani masalah pelupusan sisa, sebuah loji rawatan dan pelupusan sisa toksik telah dibangunkan oleh kerajaan di Bukit Nenas, Negeri Sembilan. Ia melibatkan kos bernilai beratus juta ringgit dan beroperasi secara rasminya pada tahun 1998. Namun masih terdapat pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab yang memilih tanah lapang, kawasan terpencil dan sungai untuk membuang sisa tersebut.


Pada 3 Jun tahun lalu, Jabatan Alam Sekitar memaklumkan akan menghidupkan semula kempen pengurangan sisa “The Malaysian Agenda for Waste Reduction (Mawar)” di mana sasaran mereka ialah sektor industri. Namun demikian beberapa kejadian pembuangan haram sisa industri dilaporkan telah berlaku setelah kempen tersebut



Penemuan, lebih 500 tong sisa buangan toksik atau racun berjadual di kawasan ladang kelapa sawit di Ijok, Selangor adalah amat menggemparkan. Lebih memeranjatkan lagi, kos pembersihan sisa ini menjangkau hampir jutaan ringgit dan terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri. Mengapakah kejadian begini berlaku sedangkan pelbagai kempen, ancaman hukuman dan pujukan insentif telah dilakukan oleh pihak kerajaan?



Adalah mudah menunding jari kepada industri, syarikat dan pihak penguatkuasa undang-undang sebagai pihak yang bertanggungjawab mengatasi masalah pelupusan haram sisa toksik. Namun demikian, kita mestilah sentiasa sedar bahawa persekitaran sihat adalah milik kita dan milik semua orang, jadi semua pihak harus memainkan langkah yang lebih pro-aktif dalam mencegah pelupusan haram sisa toksik industri.



Orang awam termasuk ahli Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK), pasukan RELA dan badan-badan bukan kerajaan haruslah peka dengan alam sekitar mereka dan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa. Suatu bentuk imbuhan atau insentif mungkin wajar dipertimbangkan sebagai galakan melaporkan sebarang kejadian pelupusan haram.



Industri mestilah digesa agar menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah saintifik yang mesra alam pada setiap peringkat pemprosesan produk bagi mengurangkan sisa toksik dan dalam masa yang sama dapat menjimatkan kos pengeluaran.





Tapak pelupusan atau rawatan sisa toksik haruslah ditambah bilangannya dan diurus oleh syarikat yang berdaya saing bagi mewujudkan persaingan yang lebih sihat. Dengan ini diharapkan kos pelupusan yang tinggi kini dapat dikurangkan. Pada masa kini hampir semua sisa toksik yang tidak boleh dirawat atau diolah di seluruh negara terpaksa dihantar ke Bukit Nenas. Perjalanan jauh dari utara dan timur Malaysia meningkatkan risiko pencemaran yang lebih luas sekiranya berlaku kemalangan semasa dalam perjalanan.


Perundangan yang ada kini wajar dikaji semula kerana ia didapati tidak begitu menakutkan pihak industri. Bayaran kompaun kesalahan pembuangan haram sisa yang dikenakan adalah lebih rendah dari bayaran melupuskan sisa toksik. Ini menyebabkan terdapatnya pihak tertentu yang mengambil jalan mudah melupuskannya di kawasan-kawasan terpencil.



Tuesday, March 2, 2010

pinda undang-undang yang menghalang penguatkuasaan

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu supaya semua kementerian serta jabatan mengambil langkah segera meminda undang-undang serta peraturan di bawah bidang kuasa masing-masing yang didapati menghalang langkah penguatkuasaan.



Beliau berkata wujudnya kelemahan tertentu dalam undang-undang tidak boleh terus menerus dijadikan alasan jika sesuatu tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil.



"Itu (alasan kelemahan undang-undang) bukan cara yang terbaik (menangani masalah)...yang baiknya ialah apa juga yang menghalang, sama ada dari segi undang-undang atau peraturan pentadbiran yang ada, mestilah diubah dengan segera,"



Abdullah diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk S. Sothinathan hari Selasa bahawa penguatkuasaan undang-undang oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) kurang berkesan kerana ketiadaan beberapa peruntukan khususnya untuk mengambil tindakan terhadap orang yang menanam sisa toksik di dalam kawasan milik mereka sendiri.



Selain isu penyimpanan sisa toksik sebesar
padang bola di Pasir Gudang Johor, jabatan itu berhadap dengan isu kematian Pegawai Penyiasat JAS Sarawak, Rumie Azzan Malie dan tindakan melepaskan lori sisa toksik di Ipoh, yang kini dalam siasatan polis.



Abdullah menegaskan bahawa jika ada undang-undang yang melemahkan pelaksanaan dan boleh membuatkan tindakan tidak dapat diambil terhadap mereka yang membuat kecoh, maka undang-undang itu perlu dipinda.



"Undang-undang yang ada, tetapi kalau tak sesuai lagi dan kalau nampak ianya menghalang dan melemahkan pelaksanaan, adalah menjadi kewajipan kita membuat pindaan," katanya.



Terdahulu dalam ucapannya Abdullah mahukan semua institusi pelaburan terus memainkan peranan aktif dalam menerapkan pemahaman dan menyalurkan maklumat yang jelas tentang pelaburan unit amanah kepada seluruh masyarakat.



"Setakat ini inisiatif yang ditunjukkan oleh badan-badan dan syarikat-syarikat pelaburan unit amanah menggalakkan bukan sahaja daripada segi memacu perkembangan industri unit amanah tempatan, malah dalam mendidik masyarakat mengenai hal ehwal serta selok-belok pasaran dunia dan serantau," katanya.



Sehubungan itu beliau menyeru masyarakat di sekitar Seremban supaya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan nasihat mengenai pelaburan yang selamat daripada para pegawai PNB serta syarikat-syarikat pelaburan yang mengambil bahagian dengan mengunjungi pameran yang diadakan sempena minggu saham amanah itu