Tuesday, March 2, 2010

pinda undang-undang yang menghalang penguatkuasaan

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu supaya semua kementerian serta jabatan mengambil langkah segera meminda undang-undang serta peraturan di bawah bidang kuasa masing-masing yang didapati menghalang langkah penguatkuasaan.



Beliau berkata wujudnya kelemahan tertentu dalam undang-undang tidak boleh terus menerus dijadikan alasan jika sesuatu tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil.



"Itu (alasan kelemahan undang-undang) bukan cara yang terbaik (menangani masalah)...yang baiknya ialah apa juga yang menghalang, sama ada dari segi undang-undang atau peraturan pentadbiran yang ada, mestilah diubah dengan segera,"



Abdullah diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk S. Sothinathan hari Selasa bahawa penguatkuasaan undang-undang oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) kurang berkesan kerana ketiadaan beberapa peruntukan khususnya untuk mengambil tindakan terhadap orang yang menanam sisa toksik di dalam kawasan milik mereka sendiri.



Selain isu penyimpanan sisa toksik sebesar
padang bola di Pasir Gudang Johor, jabatan itu berhadap dengan isu kematian Pegawai Penyiasat JAS Sarawak, Rumie Azzan Malie dan tindakan melepaskan lori sisa toksik di Ipoh, yang kini dalam siasatan polis.



Abdullah menegaskan bahawa jika ada undang-undang yang melemahkan pelaksanaan dan boleh membuatkan tindakan tidak dapat diambil terhadap mereka yang membuat kecoh, maka undang-undang itu perlu dipinda.



"Undang-undang yang ada, tetapi kalau tak sesuai lagi dan kalau nampak ianya menghalang dan melemahkan pelaksanaan, adalah menjadi kewajipan kita membuat pindaan," katanya.



Terdahulu dalam ucapannya Abdullah mahukan semua institusi pelaburan terus memainkan peranan aktif dalam menerapkan pemahaman dan menyalurkan maklumat yang jelas tentang pelaburan unit amanah kepada seluruh masyarakat.



"Setakat ini inisiatif yang ditunjukkan oleh badan-badan dan syarikat-syarikat pelaburan unit amanah menggalakkan bukan sahaja daripada segi memacu perkembangan industri unit amanah tempatan, malah dalam mendidik masyarakat mengenai hal ehwal serta selok-belok pasaran dunia dan serantau," katanya.



Sehubungan itu beliau menyeru masyarakat di sekitar Seremban supaya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan nasihat mengenai pelaburan yang selamat daripada para pegawai PNB serta syarikat-syarikat pelaburan yang mengambil bahagian dengan mengunjungi pameran yang diadakan sempena minggu saham amanah itu


No comments:

Post a Comment