Friday, January 22, 2010

Himpunan Gejala Sosial

1) Manusia secara fitrahnya mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Sifat–sifat inilah yang menentukan setiap tindakan dan perbuatan. Sungguhpun begitu, terdapat beberapa sifat dan tabiat manusia yang secara jelas menunjukkan betapa pentingnya proses bimbingan.


3) Justeru, kerja-kerja membimbing perlu dilakukan oleh semua orang berdasarkan kemampuan masing-masing. Keperluan Bimbingan Terdapat pelbagai keperluan yang menuntut proses bimbingan dilakukan. Antaranya: Manusia adalah Khalifah di atas Muka Bumi Manusia dijadikan oleh Allah dengan kejadian yang cukup sempurna dan melalui tahap perkembangan bermula daripada zaman kanak-kanak sehingga ke lanjut usia.


4) Apabila diteliti secara mendalam, pelakuan atau tindakan menyeleweng yang berlaku di sekeliling kita dapat dicegah sebelum ia menjadi parah kerana kos memulihkannya memerlukan tenaga, sumber dan masa yang banyak. Masing-masing menuding jari kepada orang lain apabila berlaku masalah dalam masyarakat seperti buang bayi, lepak, pelacuran dan sebagainya. Sebagai ahli masyarakat sama ada sebagai rakan, jiran, saudara mara, guru ataupun ketua kampung masing–masing berperanan membantu pada peringkat awal sebelum masalah menjadi serius.


5) Keperluan Saling Membantu dan Menyampaikan Walau Satu Ayat Berdasarkan rol dan kemampuan masing-masing, setiap orang berperanan menyampaikan ilmu, memberi nasihat, menegur kemungkaran, menyeru kepada kebaikan. Sabda nabi Muhammad SAW, “Sampaikan daripadaku walau sepotong ayat.” Di samping itu, membantu sesama manusia juga sesuatu yang dituntut. Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2, “Bertolong-tolonglah kamu berbuat kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan membuat dosa dan aniaya.” Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa berjalan menolong saudaranya dan memberikan jasa padanya, maka untuknya pahala orang-orang yang berjihad di jalan Allah.”


Ganjaran orang yang membantu memenuhi keperluan sesama manusia dijelaskan seperti sabda Nabi Muhammad SAW, “Barang siapa berjalan bagi memenuhi keperluan saudaranya, Allah menuliskan untuknya setiap satu langkah tujuh puluh kebaikan dan menghapuskan tujuh puluh keburukannya. Jika dia berhasil memenuhi keperluan saudaranya itu, maka dia bersih daripada dosanya seperti pada hari dia dilahirkan ibunya. Jika dia mati di saat itu, maka dia masuk syurga tanpa hisab.” Rasulullah SAW bersabda, “Untunglah orang yang daripada tangannya mengalir kebaikan dan celakalah orang yang daripada tangannya mengalir keburukan.”


Perubahan dalam Masyarakat


a. Perubahan keperluan pendidikan negara Keperluan pendidikan sebelum merdeka tertumpu pada meningkatkan kesedaran menuntut kemerdekaan dan penyediaan tenaga pentadbir. Selepas merdeka, perkhidmatan bimbingan tertumpu ke arah melahirkan intelektual dan tenaga profesional dalam pelbagai bidang. Selaras dengan wawasan 2020 dan matlamat menjadi negara maju, tumpuan diberikan kepada pendidikan sepanjang hayat dan pengunaan teknologi maklumat dalam melahirkan warga Malaysia yang berpengetahuan.


b. Kehendak dunia kerjaya Keperluan dalam dunia kerjaya dan pekerjaan juga menyumbang kepada keperluan perkhidmatan bimbingan. Corak ekonomi negara berasaskan pertanian sudah beralih ke ekonomi perindustrian, kini berada pula pada zaman teknologi maklumat. Perubahan ini membawa kepada perubahan corak pemilihan kerjaya dan persaingan bagi mendapatkan tempat melanjutkan pelajaran menjadi semakin sengit.


c. Peralihan menjadi masyarakat moden Suasana dunia yang semakin moden menimbulkan isu-isu seperti perbandaran, penghijrahan, perumahan dan media massa.


Keadaan bertambah mencabar di era dunia tanpa sempadan dan cabaran globalisasi. Pengaruh Persekitaran dan Globalisasi


a. Zaman teknologi maklumat Semakin maju teknologi, semakin jauh manusia hanyut dengan pelbagai masalah sosial. Nilai-nilai moral, kerohanian dan keagamaan sama sekali diabaikan serta merupakan perkara kedua dalam kemajuan diri mereka. Tidak dinafikan perkembangan maju pelbagai teknologi canggih pada abad ini memberi kesan pada corak pemikiran kerana terdedah kepada pelbagai maklumat dan bahan-bahan tanpa sempadan.


b. Media Pengaruh pelbagai saluran media massa yang menampilkan budaya kuning terutama melalui artis-artis barat. Budaya yang ditonjolkan bukan sekadar daripada segi berpakaian yang menjolok mata, tetapi pertuturan berbaur unsur lucah malah perlakuan juga tidak bersopan-santun, gelojoh serta ganas. Masyarakat juga khuatir bahan-bahan lucah, jenayah dan keganasan dapat membentuk suatu keadaan di mana orientasi nilai dan sikap dalam masyarakat menjadi rendah dan negatif. Apabila seseorang itu terlampau banyak didedahkan kepada bahan-bahan seperti ini, ia mungkin menganggap jenayah dan keganasan adalah suatu perkara yang lumrah.


Masalah Sosial Era kemajuan yang dikecapi oleh manusia pada abad ini seolah-olah sudah mengaburi dan lupa pada permasalahan yang wujud di sekeliling mereka. Salah satunya adalah masalah keruntuhan moral yang semakin menular dalam masyarakat kita sekarang bagai ‘duri dalam daging.’


a. Pengaruh budaya kuning Sebut saja ‘budaya kuning,’ masyarakat dapat menggambarkan dalam pemikiran mereka ia adalah suatu unsur negatif yang menyelinap dalam kehidupan mereka. Perkara ini bukan lagi suatu perkara yang baru diperkatakan. Masyarakat sudah lali dan biasa dengan black metal, hippies, pink metal dan skin head. Budaya yang meresap seolah-olah menjadi sebati dalam diri masyarakat tidak diendahkan terutama generasi hari ini. Muda mudi seronok dan asyik dengan cara hidup kebaratan sehinggakan tanpa segan silu mereka menampilkan cara berpakaian, bersosial, ataupun bertutur ala barat.


b. Sumbang mahram Sumbang mahram adalah pencabulan seks yang berlaku di kalangan anggota keluarga terdekat atau di kalangan mereka yang mana perkahwinan sesama sendiri ditegah apabila dilihat dalam konteks Islam. Pencabulan seks di sini bermaksud sebarang kegiatan seksual yang tidak difahami dan tidak direlai oleh mangsa perlakuan seks atau perlakuan seks yang melanggar norma sosial. Ia termasuklah mulut-kemaluan atau oral-genital, dubur-kemaluan atau anal-genital iaitu liwat, kemaluan-kemaluan atau genital-genital antara orang dewasa dan kanak-kanak; onani bersama; mendedahkan kemaluan atau exhibitionism dan menggunakan kanak-kanak untuk pornografi.


c. Lari dari rumah Lari dari rumah adalah suatu fenomena yang sudah lama wujud di kalangan remaja. Dianggarkan setiap hari seramai 3 ataupun 4 orang lari dari rumah. Perangkaan ini semakin meningkat kerana masih banyak lagi kes yang belum dilaporkan ataupun sengaja tidak dilaporkan.


d. Penyalahgunaan dadah Pada tahun 2003, kerajaan melancarkan perang najis dadah habis-habisan. Gegala penagihan ini berlaku disebabkan banyak faktor seperti masalah keluarga, rendah harga diri, tekanan hidup yang dialami, pengaruh rakan dan lain-lain lagi. Pada peringkat awal, pengguna dadah mungkin beranggapan dadah dapat menyelesaikan masalah peribadi yang mereka hadapi tetapi keadaan lebih buruk berlaku apabila mula gian dan ketagih.

Mengikut kajian, sebab–sebab mereka terlibat dengan dadah adalah;

i) 50.7 % berpunca daripada pengaruh rakan sebaya.

ii) 26.2 % disebabkan perasaan ingin tahu.

iii) 15.6% untuk mencari keseronokan.

iv) 5.7 % untuk menghilangkan tekanan jiwa.

v) 1.6 % untuk rawatan kesihatan.

vi) 0.2 % sebab–sebab lain.


e. Gengsterisme Gejala gengsterisme di kalangan remaja khususnya para pelajar di sekolah sejak akhir-akhir ini cukup memilukan hati dan membimbangkan semua pihak. Ia menggambarkan betapa biadab dan runtuhnya disiplin remaja pada hari ini. Sebagai contoh bagaimana seorang pelajar iaitu adik Nurul Syuhadah Abdul Majid, ditikam tidak kurang daripada sepuluh kali oleh pelajar tingkatan satu hanya kerana tidak memberikan wang sakunya. (Berita Harian, 21.6.2000)

Begitu juga dengan seorang remaja perempuan yang berumur 16 tahun dituduh membunuh wanita berumur 58 tahun kerana tidak memberikannya wang yang diminta. (Berita Harian, 24.9.2000)


f. Pelacuran Secara logik akal, tidak ada manusia yang rela menghambakan diri ke lembah yang hina ini. Sungguhpun ada di antara mereka yang hidup mewah dengan cara melacurkan diri, tetapi kesan yang terpaksa ditanggung adalah berat daripada segi emosi, fizikal, mental dan psikologi. Apatah lagi apabila mereka diperangkap oleh orang yang bertanggungjawab mengheret mereka ke lembah hina itu.


g. Buang bayi Sejak kebelakangan ini, laporan berkenaan kes pembuangan bayi semakin meningkat daripada semasa ke semasa. Boleh dikatakan setiap hari kita membaca dan mendengar berita yang cukup sedih dan menggerunkan di akhbar ataupun televisyen yang memperkatakan berkenaan isu pembuangan bayi ini. Isu ini mencapai kemuncaknya apabila pihak berkuasa dan masyarakat masing-masing memperdebatkan sama ada sebuah ‘Bank Bayi ’ harus ditubuhkan bagi mengatasi masalah pembuangan bayi yang semakin kritikal.


Penutup

Berdasarkan pada tanggungjawab, kelemahan manusia dan pengaruh persekitaran yang makin mencabar, perkhidmatan bimbingan menjadi suatu keperluan dalam hidup manusia. Setiap individu perlu memainkan rol masing-masing dalam mewujudkan budaya nasihat menasihati seterusnya melahirkan masyarakat penyayang.

No comments:

Post a Comment