Friday, December 3, 2010

Lawatan Pulih Kepercayaan atas kepimpinan Obama

RINGKASAN


'PULANG kampung nih.'

  • Tepukan gemuruh menyambut kata-kata aluan Encik Barack Obama dalam Bahasa Indonesia semasa mula berucap di depan 6,000 hadirin di Universiti Indonesia, kelmarin.
  • Setelah dua kali lawatannya ditunda sebelum ini, Encik Obama akhirnya berjaya menjejakkan kakinya ke Indonesia.
  • 'Indonesia sebahagian daripada diri saya,' tambah Encik Obama, juga dalam Bahasa Indonesia.
  • Daripada usia enam hingga 10 tahun, Encik Obama menetap di Indonesia bersama ibunya, Cik Ann Dunham, dan bapa tirinya, Encik Lolo Soetoro, seorang warga Indonesia beragama Islam.
  • Mengimbas kembali kehidupannya selama empat tahun dari 1967 di kejiranan Menteng Dalam, Encik Obama dalam ucapannya kelmarin berkata ketika itu beliau seakan datang ke 'satu dunia yang berbeza'

  • 'Saya tidak dapat bayangkan bagaimana satu hari saya akan diberi penghormatan di sini, lebih-lebih lagi sebagai Presiden Amerika Syarikat. Saya tidak pernah terfikir akan dapat menjejakkan kaki dalam bangunan ini,' kata Encik Obama ketika berucap di Istana Merdeka, di Jakarta pada Selasa lalu.
  • Indonesia merupakan destinasi penting bagi Encik Obama atas beberapa alasan peribadi dan strategik.
  • Negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam terbesar di dunia itu merupakan sekutu penting bagi Amerika dalam usaha menentang pengganasan.

MENDEKATI DUNIA ISLAM FAKTOR KEMEROSOTAN POPULARITI?

  • Pada Jun 2009, dalam ucapannya di Universiti Kahirah, Mesir, Encik Obama mengisytiharkan Amerika mahu membuka 'lembaran baru' dengan 1.5 bilion penganut Islam sedunia dan menggesa agar segala kecurigaan dan permusuhan dilupakan.
  • Namun, sejak itu, populariti Encik Obama di Dunia Islam semakin merosot.
  • Antara lain, Dunia Islam berpendapat Encik Obama gagal melaksanakan sepenuhnya apa yang telah dilakarkan dalam ucapannya di Kahirah.
  • Antaranya, harapan bagi rundingan damai Timur Tengah mencapai sebarang tanda kemajuan dalam tempoh setahun yang ditetapkan semakin pudar.
  • Perang di Afghanistan dan Iraq yang masih berterusan turut menyebabkan sokongan terhadap Encik Obama di kalangan penganut Islam berkurang.
  • Baru-baru ini, timbul kontroversi baru ekoran pembinaan pusat Islam berdekatan tapak serangan pengganas di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di New York.
  • Ia juga dicemari oleh ancaman seorang paderi di Florida untuk membakar Al-Quran sebagai membantah pembinaan pusat Islam itu.

SOLUSI

  • Ucapannya di Jakarta kelmarin lantas merupakan peluang kedua bagi Encik Obama mendekati semula Dunia Islam.
  • 'Beliau sedar pada akhirnya kita tidak akan dapat menghapuskan Al-Qaeda sehingga kita dilihat sebagai rakan kepada penganut Islam di serata dunia, berbanding jika dilihat sebagai sebuah negara yang berperang dengan orang Islam,' kata Encik Stephen Grand, pengarah Projek Hubungan Amerika dengan Dunia Islam di Institusi Brookings.
  • Kelmarin, Encik Obama antara lain akur 'tiada satu-satu ucapan yang dapat melenyapkan kesangsian yang telah berakar umbi sejak bertahun-tahun lamanya'.
  • Serupa dengan ucapannya di Kahirah, Encik Obama sekali lagi mengulangi:
  • 'Saya telah menjelaskan bahawa Amerika bukan dan tidak akan berperang dengan Islam. Sebaliknya, kita semua harus menumpaskan Al-Qaeda dan sekutunya, yang tidak berhak mengaku pemimpin mana-mana agama - tentu sekali bukan agama agung dunia seperti Islam.'
  • Dengan lawatan sesingkat 17 jam dan satu ucapan utama berkaitan Islam, memang tidak realistik untuk menjangkakan perubahan sekelip mata pada landskap dunia.
  • Namun, matlamat utama Encik Obama ialah terus menonjolkan pendiriannya yang bukan anti-Islam dan menarik sokongan penganut Islam sederhana yang membentuk kelompok majoriti di dunia.
  • Beliau malah mengakhiri ucapannya di Universiti Indonesia kelmarin dalam Bahasa Indonesia dan menghulurkan salam kedamaian:
  • 'Sebagai penutup, saya ingin mengucapkan kepada seluruh rakyat Indonesia, terima kasih. Assalamualaikum.'



KONTROVERSI

  • Lawatan Encik Obama bagaimanapun tidak sunyi daripada kontroversi.
  • Ahad lalu, kumpulan Hizbut Tahrir Indonesia (HTI) telah mengadakan bantahan terhadap lawatan Encik Obama.
  • 'Kami tidak lihat perbezaan di antara Encik Obama dengan Bush (mantan Presiden Amerika, Encik George W. Bush). Kedua-dua mereka menindas orang Islam.
  • 'Tangan mereka berdua berlumur dengan darah. Ini sebabnya kami menolak Obama dan tidak percaya beliau ingin mendekati golongan Muslim,' kata jurucakap kumpulan itu, Encik Ismail Yusanto.
  • Seorang menteri Indonesia yang dikenali sebagai penganut Islam konservatif pula mengakui beliau bersalaman dengan wanita pertama Amerika Syarikat, Cik Michelle Obama, sebagai mengalu-alukan lawatannya ke Indonesia kerana tidak mempunyai pilihan.
  • Klip video dalam laman sosial YouTube bagaimanapun menunjukkan gambaran sebaliknya sehingga mencetuskan perbincangan hangat dan merebak ke rangkaian Facebook, Twitter dan blog lain.
  • 'Saya cuba tidak menyentuhnya dengan tangan tetapi Michelle menghulurkan tangannya untuk berjabat,' kata Menteri Penerangan Indonesia, Encik Tifatul Sembiring, dalam komen balas kepada peminatnya di rangkaian Twitter.
  • Encik Sembiring sebelum ini pernah memberitahu beliau patuh kepada tegahan agama agar tidak bersentuhan dengan wanita yang bukan mahram.
  • Beliau antara orang kenamaan dan pemimpin negara yang berbaris untuk menyambut lawatan Encik Obama dan isterinya ke Jakarta Selasa lalu.

KESAN LAWATAN KE ASIA

  • Populariti Encik Obama kian merosot di tanah airnya sendiri dengan Parti Demokrat pimpinan beliau kehilangan kuasa di Dewan Perwakilan dalam pilihan raya separuh penggal baru-baru ini.
  • Dengan berlatarbelakangkan kemelut domestik yang dihadapinya, lawatannya ke Asia lantas penting dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat Amerika bahawa beliau mampu meningkatkan eksport Amerika dalam usaha mewujudkan pekerjaan di negara itu.
  • Kadar pengangguran Amerika kini berada pada paras 9.6 peratus.
  • Sebelum ke Indonesia, Encik Obama telah ke India dan beliau antara lain mengumumkan usaha untuk membuka pasaran baru bagi eksport Amerika di negara itu.
  • Encik Obama telah mengisytiharkan India sebagai negara kuasa dunia dan menyifatkan kerjasama India-Amerika sebagai satu kerjasama yang penting dalam abad ke-21.
  • Beliau juga mengumumkan perjanjian perdagangan bernilai AS$10 bilion ($12.8 bilion) dengan India yang bertujuan mewujudkan sekurang-kurangnya 50,000 pekerjaan bagi rakyat Amerika.
  • Di Indonesia, Encik Obama telah mengumumkan program lima tahun yang bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam bidang perdagangan, perubahan iklim, pengganasan dan pendidikan.
  • Sebagai ekonomi terbesar Asia Tenggara dan anggota G-20, Indonesia telah membuktikan ia berdaya bangkit selepas krisis kewangan dan menjadi perhatian pelabur yang ingin memanfaatkan kebangkitan ekonomi sedang berkembang itu.
  • 'Asia ialah tempat pertumbuhan akan dicatatkan dalam ekonomi dunia dalam tempoh sedekad mendatang. Kami sangat jelas tentang perkara ini. Indonesia penting kerana ia pemain yang besar di rantau itu,' kata pengarah program Asia Tenggara di Pusat bagi Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Encik Ernest Bower.



Walaupun para pengamat berpendapat lawatannya lebih bersifat simbolik dan kurang hasil konkrit, ia sebenarnya membawa mesej penting bagi memulihkan semula kepercayaan rakyat Amerika dan Dunia Islam ke atas kepimpinannya. Lawatan Encik Obama ke India, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun kali ini membuktikan Amerika serius dalam penglibatan di Asia setelah rantau ini tidak diendahkan sejak sekian lama

No comments:

Post a Comment